Monday, September 15, 2008

Membaca di dalam bulan Ramadhan.

IQRA', ayat pertama yang diwahyukan Allah kepada Rasulullah. Turunnya ayat pertama ini di bulan yang mulia, Ramadan. Ayat ini begitu penting kepada umat manusia sejagat. Ia adalah satu suruhan Allah kepada umat manusia untuk membaca, mencari ilmu dan memerdekakan diri daripada kejahilan.
Al-Quran adalah sebuah kitab yang mengandungi ilmu. Sudah terbukti, umat yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama kehidupan mereka, tamadun terbina, sejarah tercipta. Yang terpenting, manusia kembali terarah ke jalan yang sebenar.
Asas kepada semua ini, tentunya adalah ilmu. Kerana dengan ilmu yang benar sahajalah, manusia akan mengenali diri sendiri, lantas mengenali Penciptanya. Apabila diri dan Pencipta dikenali, tentunya landasan yang dipilih itu akan memperlihatkan kejayaan. Bukankah sudah menjadi matlamat semua manusia untuk berjaya?
Bukan semua pembacaan akan mewujudkan ilmu yang berguna. Ada juga yang akan membinasakan. Namun begitu, sekiranya pembaca terdidik dengan iman dan kebenaran, maka pembacaan akan ditapis.
Al-Quran perlu dibaca, dianalisis dan dikorek segala isinya. Daripada al-Quranlah, ilmu berkembang. Sejarah telah menyaksikan ribuan buku terhasil, terutamanya ketika zaman kegemilangan Islam. Ilmu berkembang pesat, lantas memakmurkan kehidupan manusia bergenerasi lamanya.
Khaled Abou El Fadl, menerusi bukunya The Search of Beauty in Islam: A Conference of the Books, telah menyenaraikan beberapa cendekiawan Islam yang telah dilahirkan daripada pembacaan dan pemahaman al-Quran yang berkesan.
Menurut Khaled, yang juga merupakan seorang Profesor undang-undang di UCLA School of Law, ratusan cendekiawan Islam telah membaca dan memahami al-Quran. Al-Quran telah mendidik mereka ke arah kejayaan.
Yang menariknya tentang buku ini, Khaled menulis seolah-olah sedang berbicara dengan setiap buku yang dimilikinya di perpustakaan peribadi miliknya di Princeton, New Jersey.
Setiap malam, Khaled 'berbicara' dengan cendekiawan-cendekiawan Islam masa silam, yang telah terdidik dengan al-Quran, menerusi buku-buku tulisan mereka berkurun lamanya. Khaled cuba merungkai permasalahan zaman sekarang, dengan merujuk kembali kepada ilmu-ilmu yang telah dirungkai hebat oleh cendekiawan-cendekiawan itu.
Kehebatan mereka memang diakui Khaled. Dan intipati utama The Search of Beauty in Islam, tentunya lahir daripada pembacaan dan pemahaman al-Quran.

No comments: