Monday, September 15, 2008

'Demi UPSR,barah aku redah jua'

Keadaan bengkak yang berlaku secara tiba-tiba di mana-mana sahaja bahagian badan sewajarnya tidak dibiarkan berlarutan tanpa sebarang kebimbangan.
Ini kerana keadaan tersebut boleh dianggap sebagai tanda-tanda awal penyakit yang bakal menyerang amat berbahaya dan bakal merubah masa depan seseorang sekiranya sudah terlalu lewat untuk dirawat.
Murid tahun enam Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Sungai Karangan, Kulim, Kedah, Siti Nabihah Hashim 12, mula mengalami bengkak di bahagian paha awal tahun ini.
“Semakin lama ia semakin membuat saya kesakitan setiap kali ia berdenyut dan sukar untuk saya tumpu kepada pelajaran, payah untuk lena apabila tidur.
“Apabila terlanggar sesuatu, ia sangat menyakitkan, saya mudah menjerit dan menangis, tidak tahu bila ia akan berakhir,” ujar anak petani yang bercita-cita menjadi doktor pakar.
Kakaknya, Siti Rosaida, 22 berkata, mereka sekeluarga sememangnya tidak menyangka bengkak yang dialami merupakan sejenis barah tulang.
Pada peringkat awal katanya, mereka menyangka ia penyakit biasa yang boleh lenyap mengikut masa dan apabila Siti Nabihah mengadu sakit, mereka membawanya ke klinik dan hospital.
“Ketika itu, setelah hospital tidak dapat mengesahkan apa-apa, kami mencuba perubatan secara tradisional tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan,” katanya.
Dalam keadaan kesakitan itu katanya, kadang kala Siti Nabihah terpaksa ponteng sekolah, walaupun beliau merupakan murid cemerlang semasa di tahun lima.
Katanya, tindakannya ponteng sekolah itu menyebabkan guru datang melawat dan mendapati beliau mengalami penyakit bengkak dan meminta supaya adiknya itu dibawa semula ke hospital.
Bermula dari situ katanya, pihak Hospital Sungai Petani merujuk kesnya ke Hopsital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut pada bulan Jun lalu.
“Dia disahkan menghidap sejenis barah tulang ‘Ewing's Sarcoma’ dan pada 3 September lalu, kaki kiri bermula dari paha terpaksa dipotong bagi mengelak kanser merebak ke paru-paru yang boleh mengancam nyawanya,” ujar beliau.
Tulang kaki
Ewing's Sarcoma adalah barah tulang atau tisu lembut yang terjadi pada tulang kaki, peha, pinggul dan rusuk, sering berlaku dikalangan remaja dan kemungkinan disebabkan genetik ‘chromosome’ 11 atau 22, dan rawatan yang diperlukan termasuk kimoterapi, radiasi dan pembedahan.
Siti Rosaida yang menemani adiknya di HUSM bersama ibu, Salbiah Ariffin memberitahu, Siti Nabihah merupakan anak bongsu dari lapan adik beradik dan merupakan harapan keluarga.
“Kami berharap dia akan segera pulih dari penyakit tersebut setelah menjalani rawatan dan dapat kembali semula ke sekolah tidak lama lagi.
“Adik saya sedar dia tidak lagi seperti dahulu kerana kehilangan anggota tetapi dia nampak cukup tabah,” ujarnya.
Ketika ini, katanya, dia mengambil alih tugas menjaga adiknya itu kerana ibunya terpaksa pulang ke rumah di Kampung Baru, Sungai Karangan atas urusan keluarga.
“Kami tidak mungkin meninggalkannya bersendirian kerana kasihan dengan keadaannya, walaupun nampaknya adik beransur pulih,” ujarnya.
Beliau juga kagum dengan sikap adiknya apabila bersedia menerima keputusan bahawa kakinya itu terpaksa dipotong.
“Kemungkinan rasa sakit yang tidak tertanggung, sehinggakan dia bertanya bila kakinya boleh dipotong, apabila keluarga memberikan keputusan tersebut,” katanya.
Selepas pembedahan itu, katanya, adiknya itu menerima keadaannya tanpa memperlihatkan rasa kesal terhadap keadaan fizikalnya dan bakal menggunakan kaki palsu kelak.
Katanya, setelah sebulan menjalani pembedahan itu, adiknya sudah menunjukkan keinginan untuk berjalan tetapi dia pastinya terpaksa melalui banyak rawatan lanjutan sebelum mendapatkan kemudahan itu.
Sementara itu, doktor yang merawat Siti Nabihah, Prof Madya Dr. Wan Faisham Wan Ismail memberitahu, keadaan murid itu kini stabil selepas pembedahan yang dilakukan pada 3 September lalu.
Katanya, melihatkan keadaannya, murid itu pulih dengan cepat dan boleh mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Kemungkinan dia boleh berjalan menggunakan tongkat tidak lama lagi dan akan dibenarkan pulang berhari raya ke kampungnya di Kedah,” ujarnya.
Menurutnya, bagaimanapun dia perlu menjalani rawatan kimoterapi selepas hari raya nanti.
-petikan u.m-

No comments: